Tuesday, September 02, 2008

pada suatu Ramadhan

assalamualaikum.

haihh, tengah cuti ni boleh la mengupdate blog dgn kadar yang tinggi, tengok la lps skola dah start nanti sure blog nih berhabuk 8 inci nyer.

umat islam di bumi new zealand mula berpuasa pada hari ini, hari selasa 2 september 2008. terlewat sehari daripada australia dan malaysia. agaknya crescent tu maen sorok2 kot. haha.

aku masih ingat, bagaimana aku menghabiskan Ramadhan tahun lepas.

Ramadhan bermula dengan baik, hampir setiap malam aku berjalan kaki meredah kegelapan ke white pavillion di Ilam Field untuk bersama-sama berjemaah menunaikan solat sunat terawih dengan rakan-rakan yang lain. walaupun acap kali juga diganggu mamat-mamat mabuk yang memanggil aku dengan panggilan 'afghanistan', 'israel' (what da heck?) dan bermacam-macam lagi. aku tidak kisah pun, alah bisa tegar biasa. semua pelajar malaysia di sini pun rasanya sudah immune terserempak dengan kaki-kaki mabuk ini di waktu malam.

tetapi menjelang minggu-minggu terakhir, aku dilanda kesibukan yang melampau. assignment yang berlambak-lambak, test, lab report dan sebagainya. aku mula panik, aku harus dan mesti menyiapkan semua kerja ini, atau aku tidak akan memperoleh portion markah yg diperuntukkan untuk kerja-kerja tersebut. akhirnya, aku terpaksa mengorbankan malam-malam terakhir ramadhanku untuk menyiapkan kerja-kerja itu.

kemudian syawal pun tiba. aku sama sekali tidak mahu meninggalkan sembahyang sunat Aidil Fitri pada pagi syawal tersebut, maka aku pun bersiap-siap, memakai baju kurung yang dipos oleh ibu bapa aku dari Malaysia, dan pergi ke masjid yang terletak agak jauh dari tempat kediamanku (kena pergi dengan kereta atau bus) lalu menunaikan sembahyang sunat raya bersama-sama umat islam yang lain di padang berhadapan masjid (tak buat dalam masjid sebab terlampau ramai yang datang, tak muat)

selesai menunaikan solat sunat aidil fitri, aku memandang ke sekelilingku dan hati aku sedikit terusik. melihat kepelbagaian bangsa dan negara berkumpul di satu tempat atas satu tujuan yang sama, yakni mengabdikan diri mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah yang Maha Esa, kerana atas limpah kurnia dan kasih sayang dariNya, maka hamba-hambaNya ini telah selamat menjalani ibadah puasa selama sebulan, masih dipanjangkan umur sehingga ke pagi syawal untuk meraikan kemenangan perjuangan jihad melawan nafsu, dan sekaligus dapat berkumpul megeratkan ukhuwah sesama muslim tanpa mengira warna kulit.

tersenyum sendiri aku melihat kanak-kanak berlari riang di padang tersebut, mungkin masih belum mengerti nikmat Aidil Fitri ini. terasa satu kebahagiaan menyelinap di dalam hati melihat segala macam manusia - hitam, putih, cokelat teh susu, cokelat teh susu tapi susu dia kurang sket, dan macam-macam lagi berkumpul dengan pakaian yang bermacam-macam cara dan gaya juga-skirt labuh, jubah, baju kurung, yang berpurdah, yang berserban, yang berkopiah, yang berbaju biru, merah, hijau kuning, segala-galanya ada. semuanya bersalaman antara satu sama lain, senyuman mesra terukir di bibir, tangan ditadah tanda kegembiraan, pelukan saling bertukar tanda penghargaan. aku yang tidak dapat balik ke tanah air untuk bersama-sama keluarga menyambut hari kebesaran ini, amat menghargai warna-warni sambutan di bumi christchurch ini. tersengih aku bila seorang mak cik dari pakistan memuji kami pelajar malaysia. katanya dalam banyak-banyak baju, baju kurung pelajar malaysia lah yang paling cantik dan menyerlah. terima kasih banyak wahai mak cik yang tidak ku ingat namanya.

kemudian aku pergi pula memenuhi jemputan teman-teman, ke rumah-rumah terbuka pelajar undergrad dan postgrad. menikmati juadah yang lazat-lazat, saling memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan sama-sama ketawa riang menonton video klip lagu-lagu raya, membasuh pinggan mangkuk dan bertukar-tukar khabar bagi yang dah lama tak jumpa (mungkin kerana terlalu lama memonteng kelas. haha).

apa tujuan aku menceritakan semua ini? adakah aku ingin berkongsi kegembiraan menyambut hari raya Aidil Fitri di luar negara?

tidak. aku ceritakan semua ini untuk memberi satu pengajaran. pengajaran yang membuatkan aku rasa terpukul dan menyesal hingga ke hari ini.

apabila aku pulang ke rumah, dengan senyuman masih terukir di bibir, mata aku tertangkap kelibat buku-buku dan kertas-kertas assignment yang bergelimpangan di atas meja.

lantas senyumanku pudar.

kerja aku masih tidak habis!

maka aku pun bertungkus lumus menyiapkan kerja pada sebelah malamnya. tetapi pada malam tersebut ada pula jemputan makan-makan dari seniorku. amatlah tidak manis untuk aku menolak jemputan tersebut, maka aku pun pergi ke rumah senior aku yang begitu bersemangat menghias rumah dengan lampu lip-lap lip-lap.

maka, kerjaku tidak habis lagi!

esok ku sambung lagi kerjaku. tapi ada pula jemputan rumah terbuka dari kelab pelajar malaysia University of Canterbury. alamak, takkan tak nak pergi pula. tak sporting lah kalau begitu. jadi aku gagahkah diri, pergi memenuhi jemputan dan menyenangkan hati tuan rumah yang menjemput.

maka, sekali lagi, kerjaku masih belum habis!

petang itu aku sekali lagi berhempas pulas menyiapkan segala tugasan. akhirnya berjaya juga ku siapkan. tetapi akibatnya, aku telah sehari lewat menghantar assignment daripada tarikh yang sepatutnya.

balik ke rumah, aku termenung seorang diri. apa yang telah aku buat?

kenapa aku sanggup mengabaikan kerja-kerja aku, semata-mata kerana ingin menyambut Hari Raya Aidil Fitri?

lebih teruk lagi, kenapa aku lebih sanggup mengorbankan malam-malam terakhir Ramadhanku dan memilih untuk menyiapkan tugasan pada waktu tersebut semata-mata kerana ingin meluangkan masa bergembira di pagi raya?

sungguh aku menyesal!

aku sudah tersilap. tersilap kerana gagal membahagikan masa, tersilap kerana gagal menentukan apa yang patut diutamakan, apa yang patut dibelakangkan, tersilap kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tersilap kerana tidak menghargai peluang yang dikurniakan Tuhan untuk membersihkan hati pada malam kebaikan seribu bulan, tersilap kerana terlalu tertarik kepada kegembiraan pagi syawal hingga terlupa pada kemuliaan malam ramadhan.

malam itu aku tertidur dengan penuh penyesalan sambil memeluk bantal busuk.

kadang-kadang kita terlupa, bahawa ada yang lebih penting daripada apa yang significant. aku, pada waktu itu, memandang sembahyang sunat hari raya sebagai satu ibadah yang paling significant yang sudah pasti perlu aku laksanakan, sehingga aku terlupa bahawa ada ibadah yang jauh lebih significant daripada itu, iaitu ibadah menunaikan amanah sebagai seorang pelajar dan ibadah menghambakan diri memungut pahala di bulan ramadhan.

maka pada saat ini aku mengenang kembali kesilapan yang telah berlalu, aku berharap agar Ramadhan kali ini tidak akan lagi diperlakukan sedemikian rupa. aku berharap agar Allah dengan sifat Maha Pengasih lagi Maha PenyayangNya memberi kekuatan hati dan minda supaya dapat aku manfaatkan Ramadhan ini dengan sepenuhnya tanpa ada penyesalan, insyaAllah.

wallahualam.

3 comments:

 

Copyright © Shairah Ahmad Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger